Berita Utama

Bukit Aman sahkan terima laporan aktivis hina Raja Permaisuri Agong

Suspek akan dibawa ke Majistret untuk tujuan permohonan reman

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima laporan terhadap pemilik akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke hadapan Majistret hari ini untuk tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mencetus suasana tidak harmoni serta mengganggu-gugat ketenteraman awam,” menurutnya dalam kenyataan.

Semalam, aktivis Fahmi Reza ditahan polis berikutan hantaran yang dibuatnya di media sosial melibatkan Tunku Azizah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button