Berita Utama

Permohonan ke MRSM sesi 2021 dibuka mulai esok

Tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Disember depan

BEAUFORT, 4 Muharram 1442H, Ahad – Permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2021 bagi pelajar Tingkatan 1 dan 4 akan dibuka mulai esok (24 Ogos), bermula pukul 9 pagi.

Pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun berkata kemasukan ke MRSM pada tahun depan mewajibkan calon menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) bagi menguji potensi calon dan minat pelajar melibatkan mata pelajaran Matematik, Sains dan bahasa Inggeris serta ujian Keperibadian.

Beliau berkata calon yang berminat boleh memohon melalui laman web http://www.mara.gov.my dan tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Disember depan.

“Calon perlu lulus keempat-empat UKKM untuk melayakkan diri dipertimbangkan memasuki MRSM dan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Pemohon dinasihatkan untuk membuat permohonan lebih awal bagi mengelak sebarang masalah dan memudahkan urusan UKKM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Institusi Pendidikan MARA, yang berlangsung dua hari sejak semalam, di Dewan Pa’ Musa, di sini hari ini.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata sebuah Kolej Profesional MARA (KPM) Beaufort akan dibina di daerah itu sebaik cadangan projek pembinaan kolej itu, diluluskan kelak.

Katanya, pembinaan kolej di atas tanah seluas 12 hektar itu dijangka akan dapat memulakan operasi pada pertengahan 2023.

“Kolej berkenaan merupakan yang pertama di Sabah, menawarkan kursus-kursus profesional yang memberi manfaat kepada penduduk setempat selain membuka peluang pengajian kepada rakyat di negara ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button