Berita Utama

Fahmi Reza direman sehari

Bantu siasatan berhubung hantaran hina Raja Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Aktivis Fahmi Reza ditahan reman sehari bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan satu hantaran berbaur penghinaan melibatkan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman media sosial lelaki itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan perkara berkenaan dalam kenyataan hari ini.

Permohonan reman terhadap lelaki itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan dia kini ditahan di balai berkenaan.

Semalam, Huzir memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.

Penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran dibuat lelaki itu menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza membabitkan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button