Berita Utama

Majikan belasah pengawal direman 3 hari bantu siasatan AMLA

Suspek ditahan selepas selesai bayar wang jaminan bagi 4 pertuduhan

KUALA LUMPUR, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Seorang majikan terbabit dalam kes pukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa telah direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kegiatan haram.

Terdahulu, Chung Chee Yang, 43, yang juga seorang ahli perniagaan dan pelabur hartanah di Klang telah ditahan semula oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 Bukit Aman di Mahkamah Jalan Duta, di sini.

Suspek ditahan sekitar jam 3.00 petang selepas selesai urusan pembayaran wang jaminan RM10,000 untuk empat pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas dua pengawal peribadinya pada 13 April lalu.

Empat anggota polis AMLA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah membawa Chee Yang ke Menara KPJ bagi membantu siasatan berkaitan pembabitannya dalam kegiatan haram.

“Pagi tadi sekitar jam 11.45 pagi tadi permohonan reman untuk Chung Chee Yang telah dibaca di hadapan Majistret di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Majistret membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,” kata sumber seperti dilapor media tempatan.

Pada 14 April lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, polis telah menyerbu sebuah rumah di Batu Nilam, Bukit Tinggi, Klang selepas menerima laporan dua lelaki yang dibelasah oleh majikannya.

Hasil serbuan itu polis berjaya menahan empat suspek yang disyaki bersubahat dengan majikan mereka dalam insiden yang mencederakan kedua-dua pengawal peribadi itu.

Dalam siasatan itu, polis merampas mata wang dolar Amerika Syarikat berjumlah AS$12,500 dan 100 kilogram jongkong emas bernilai RM28.45 juta.

Rentetan daripada siasatan itu, polis mendapati majikan (Chee Yang) terbabit dalam kegiatan haram iaitu ah long dan judi.

Chee Yang pada Khamis telah didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas lima pertuduhan, mencederakan, mengacukan pistol ke arah pengawal peribadi sebagai menakutkan dan mengugut bunuh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebelum diikat jamin RM50,000 untuk kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya.

Semalam, di Mahkamah Majistret Jenayah, Jalan Duta, dia didakwa atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibenarkan ikat jamin wang RM10,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button