Berita Utama

Mesyuarat MKT esok, keputusan ekstrem rugikan UMNO dalam PRU15

Perlu fikir situasi menang-menang berbanding putus hubungan dengan PN

BANGI, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – UMNO perlu memikirkan situasi menang-menang bersama rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Perkara itu lebih baik berbanding tindakan terburu-buru mahu memutuskan hubungan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Tindakan keluar PN (Perikatan Nasional) hanya memburukkan lagi keadaan. Percayalah lebih banyak manfaat yang UMNO dapat bila berada dalam kerajaan berbanding sebaliknya,” kata penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib seperti dilapor Sinar Harian.

Md Shukri turut menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak membuat sebarang keputusan radikal ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijangka berlangsung pada Ahad.

Berdasarkan situasi semasa, katanya, sebarang tindakan ekstrem hanya akan merugikan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, Ahmad Zahid sepatutnya lebih fokus untuk meyakinkan ahli di peringkat akar umbi termasuk berterus terang mengenai situasi sebenar antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang tular baru-baru ini.

“Jadi, Ahmad Zahid perlu meyakinkan kembali ahli dan pimpinan UMNO terutama menjelaskan hubungan baiknya dengan Anwar sekali gus membuktikan beliau bukan seorang Presiden yang lemah,” katanya

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau optimis terhadap segala keputusan UMNO pada MKT kali ini selari dengan apa yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, melainkan jika ada desakan secara tiba-tiba daripada pihak tertentu.

“Saya tidak rasa ada elemen di luar jangkaan yang akan berlaku walaupun terdapat pelbagai spekulasi yang timbul baru-baru ini.

“Keputusan UMNO untuk kekal menyokong PN sehingga PRU15 juga dijangka tidak berubah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button