Berita Utama

Mujahid putar belit isu menampakkan Evangelist perkara rekaan?

Sepatutnya beliau sokong MAIS dedah agenda terancang gerakan Kristian

BANGI, 12 Ramadan 1442H, Sabtu – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sepatutnya bersuara di pihak umat Islam serta menyokong tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendedahkan agenda Kristian.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, langkah itu perlu demi kepentingan dan untung rugi penganut serta agama Islam.

Pada masa sama, Ustaz Zamani menyarankan Mujahid supaya tidak mengambil kesempatan dan mengambil tindakan kurang cerdik dengan memutarbelitkan isu, selain cuba menampakkan bahawa gerakan Evangelist adalah perkara rekaan.

Jika itu berlaku, katanya, Mujahid umpama mahu menagih simpati undi daripada penyokong tegar DAP semata-mata.

“Mujahid suka mengelirukan rakyat terutama orang Islam. Dahulu beliau cuba memahamkan rakyat bahawa tugas menteri agama bukan hanya menjaga Islam bahkan juga menjaga semua agama.

“Kemudian lahirlah pentafsiran ‘rahmatan lilalamin’ ikut faham beliau sendiri, sehingga biarlah orang kafir menghina segala macam agama Islam namun orang Islam hendaklah diam dan memaafkan sahaja.

“Isu pendedahan gerakan Evangalist ini pun beliau mahu orang Islam abaikan jangan ambil peduli, biarkanlah gerakan Evangalist terus menzahirkan kedengkiannya kepada Islam, namun Mujahid mahu orang Islam terus memaafkan dan jangan bertindak apa-apa takut nanti hilang ciri ‘rahmatan lilalamin’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Mujahid tampil mempertahankan gerakan Kristian dan menempelak MAIS.

Mujahid dalam laporan portal berita FMT berkata, sebarang tuduhan yang dibuat terhadap penganut Kristian mesti berasas.

Beliau berkata demikian mengulas sebuah buku yang mendedahkan agenda Kristian yang diterbitkan oleh MAIS pada tahun 2014.

Buku digital itu mengupas mengenai gerakan Evangelisme dan usaha mengkristiankan orang Islam, khususnya di Selangor.

Mujahid berkata, seluruh komuniti Kristian boleh dianggap jahat sekiranya dakwaan terbabit tidak dibuktikan.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani berkata, pihaknya tidak nampak MAIS menuduh seluruh komuniti Kristian sebagai jahat, sebaliknya hanya sekadar mendedahkan bahawa gerakan Evangelist sebagai terancang dan bermatlamat di negara ini.

“BERJASA berpandangan, MAIS telah memainkan peranannya yang cukup baik sebagai institusi agama dalam hal menjaga agama Islam.

“Islam sebagai agama Persekutuan tidak boleh mana-mana pemimpin parti termasuk juga pihak pembangkang untuk membiarkan wujudnya sesuatu gerakan yang boleh mengancam kesucian agama Islam serta kestabilan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button