Berita Utama

Kakitangan, keluarga kedutaan Malaysia di Lubnan pulang ke tanah air

Langkah pro-aktif kerajaan pastikan keselamatan rakyat jadi keutamaan

BANGI, 2 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan selamat tiba di tanah air semalam.

Perkara itu dimaklumkan Wisma Putra hari ini seiring dengan langkah awal yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini.

Terdahulu, Wisma Putra berkata, kerajaan telah mengarahkan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di Lubnan termasuk pasukan pengaman ATM-PBB iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Ia berikutan konflik Palestin-Israel yang semakin berterusan dan memandangkan kawasan di selatan Lubnan turut menjadi serangan pihak Israel.

“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lebanon.

“Dalam keadaan semasa, warga Malaysia disaran menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Lubnan,” katanya menerusi kenyataan bertarikh 15 Oktober.

Katanya lagi, sebagai langkah awal kerajaan memutuskan supaya ahli keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut kembali ke Malaysia sehingga keadaan keselamatan membenarkan.

“Ia sebagai langkah pro-aktif kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.

“Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaan boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button