Berita Utama

Gabungan NGO Cina lapor polis isu bantahan bina SJKC Too Joon Hing

Dakwa sekolah vernakular bukan penghalang perpaduan

BANGI, 13 Ramadan 1442H, Ahad – Gabungan Badan Bertindak Seni Khat (Sekat) dan Majlis Bahasa Cina Malaysia membuat laporan polis berhubung himpunan bantahan di tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing di bandar Kinrara baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Eddie Heng Hong Chai memaklumkan, laporan polis dibuat di balai polis Dang Wangi untuk meminta polis menyiasat insiden perhimpunan berkenaan.

Ini kerana katanya, pada awal tahun ini, lapan orang ahli majlis kemajuan SJKC telah didakwa di mahkamah atas kesalahan mengadakan perhimpunan bantahan terhadap pembelajaran Jawi yang dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran SJKC.

“…Kami mahu semua orang tahu, undang-undang tidak berat sebelah, terdahulu lapan ahli majlis kemajuan SJKC telah disoal-siasat, jadi pengerusi UMNO Subang juga mesti disiasat,” katanya seperti dilapor Oriental Daily kelmarin.

Dalam pada itu, Eddie berkata, SJKC Too Joon Hing – berada dalam DUN Kinrara – adalah untuk kepentingan penduduk kawasan itu dan juga merupakan SJKC pertama bagi kawasan tersebut.

Dakwanya, 20 peratus dari pelajar SJKC di negara ini adalah bukan Cina, justeru SJKC bukanlah penghalang kepada perpaduan antara kaum.

Beliau turut mendakwa, terdapat dua SK di DUN Kinrara – salah satunya hanya ada ratusan pelajar – oleh itu masih ada banyak tempat untuk mereka yang mahu belajar di SK.

Bagaimanapun dakwanya, UMNO Subang mendesak tapak pembinaan SJKC terbabit ditukar kepada pembinaan SK, hujah begini sukar untuk difahami dan beliau tidak faham kenapa perlu cetuskan salah faham begini.

“Sebenarnya sudah ada dua buah SK dengan salah satunya hanya separuh penuh. Tapi Ketua UMNO Subang pula mahu SJKC ini ditukar kepada SK. Apa faedahnya?

“SK kamu sendiri belum penuh. Kenapa perlu tukar SJKC kepada SK? Ini adalah untuk kepentingan politik dirinya. Tapi dia sedar terdapat banyak percanggahan dan salah faham tentangnya.

“Sebenarnya sewaktu BN, PH dan kini PN memerintah sama saja pasti ada ahli politik yang ekstrem yang menggunakan isu SJKC, SJKT untuk kepentingan diri,” dakwanya.

Sebelum ini, penduduk Bandar Kinrara membantah sekeras-kerasnya pembinaan SJKC yang kelima dalam kawasan majoriti Melayu.

Mewakili suara penduduk, Ketua UMNO Subang, Datuk Armand Azha berkata, pihaknya amat tidak berpuas hati dengan pembinaan SJKC Too Joon Hing kerana tidak seimbang dengan populasi penduduk di situ.

Beliau menjelaskan, sekolah kebangsaan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan hanya tiga sahaja jumlahnya, sedangkan SJKC ditambah kepada lima.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button