Berita Utama

Harga minyak masak naik mendadak, kenapa tak masuk dalam barang kawalan?

'Asal Ramadan, raya harga barang naik melambung-lambung'

BANGI, 13 Ramadan 1442H, Ahad – Kenaikan harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) mengundang ketidakpuasan hati rakyat tatkala berdepan krisis ekonomi dan pandemik COVID-19.

Ini kerana, kenaikan itu dianggap membebankan lebih-lebih lagi menjelangnya sambutan Aidilfitri yang berbaki sekitar 17 hari lagi.

Terdahulu, media melaporkan bahawa harga minyak masak botol bersaiz lima kg dikesan naik mendadak hingga 10 peratus sejak awal tahun ini berbanding tahun lalu.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, tinjauan pihaknya mendapati harga minyak masak botol bersaiz lima kg kini boleh mencecah antara RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27 tahun lepas.

Situasi berkenaan mendapat respon pengguna media sosial, yang rata-ratanya meminta kerajaan memasukkan minyak masak botol dalam senarai barang kawalan.

Pemilik akaun Facebook, Jumasri Jumin pelik kerana Malaysia pengeluar minyak sawit tetapi minyak dijual dengan harga yang tinggi.

“Mudah sangat pihak pengeluar atau pembekal nak bodohkan pembeli… Sebab di Malaysia penguatkuasaan paling lemah di dunia,” dakwanya.

“Sudah bertahun keadaan yang sama dilalui, asal Ramadan dan nak raya semua harga barang naik, bukan sikit sikit naiknya, melambung-lambung.

“Tak kira siapa pun yang menjadi PM atau menteri yang terlibat menjaga mengawal harga barang. Nampak semacam tiada fungsi,” kata Peah Peah.

Ashrul Anwar Mukhashen pula berkata, inilah realiti yang terpaksa dihadapi rakyat.

“Saya pun geram juga tapi apakan daya…yang berkuasa dan diberi amanah pun nampak tidak bersungguh mengatasi masalah ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button