Berita Utama

PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu bermula esok

243 individu ditahan ingkar prosedur SOP

KUALA LUMPUR, 13 Ramadan 1442H, Ahad – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula esok hingga 9 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini susulan peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di kawasan itu.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu, enam kes positif direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di lima lokaliti di mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu iaitu Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak dilanjutkan sehingga 4 Mei.

Beliau berkata, KKM melaporkan penularan kes secara berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan itu dengan 22 kes positif COVID-19 sedang dirawat.

“Setakat ini, 107 kes positif COVID-19 direkodkan melibatkan kesemua lokaliti itu hasil 2,077 ujian saringan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan penamatan PKPD susulan penurunan kes baharu di Penjara Tapah, Perak dan Kampung Meruntum, Putatan, Sabah pada 26 April seperti dijadualkan.

Ismail Sabri berkata, sejumlah 243 individu ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan 219 daripada mereka dikenakan kompaun manakala 24 lagi direman.

Merujuk Operasi Benteng pula, beliau berkata, 22 pendatang tanpa izin ditahan semalam dan tiga kenderaan darat dirampas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button