Berita UtamaIstimewa

Serangan pada institusi raja ‘test water’ sebelum lebih ekstrem

Lihat ‘blind spot’ dicipta musuh supaya tak jadi bidak catur mereka

BANGI, 13 Ramadan 1442H, Ahad – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) percaya tindakan pihak tertentu menyerang institusi raja akan berterusan, sebagai ‘test water’ ke atas sensitiviti rakyat terutama orang Melayu.

Sekiranya tindakan itu berjaya, mereka akan bertindak lebih ekstrem kerana tahu perubahan tidak berlaku secara radikal.

Ini berikutan dalam apa jua isu sebelum ini, mereka akan guna modus operandi yang sama.

Namun jika gagal, mereka akan ulangi kitaran yang sama sehingga kita mula berkompromi akan tahap sensitiviti kita kerana normalisasi dan emosi, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata demikian mengulas isu penahanan kartunis Fahmi Reza berhubung dakwaan satu hantaran berbaur penghinaan membabitkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial lelaki itu.

Penahanan dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran dibuat Fahmi Reza menggunakan akaun Facebook membabitkan Raja Permaisuri Agong.

Dilaporkan, beberapa pihak mengadakan solidariti ke atas aktivis berkenaan.  

Haji Aminuddin menyifatkan solidariti beramai-ramai termasuk daripada golongan politikus terhadap penahanan itu adalah kemuncak kepada gerakan tersusun dalam menyerang institusi raja.

“Seperti dijangka, para pemimpin DAP akan tampil menjadi jaguh membela pelampau yang dikatakan ‘teraniaya’ ini.

“Apakah mereka 100 peratus ikhlas membela Fahmi Reza atau sebenarnya lebih kepada mahu membela naratif yang dibawa olehnya?,” soalnya.

Atas sebab itu, rakyat perlu melihat ‘blind spot’ yang dicipta oleh musuh agama, bangsa dan negara supaya tidak mudah menjadi bidak catur mereka.

“Pada masa sama, saya juga sangat berharap agar Raja-Raja kita dan seluruh kerabat dapat berhati-hati kerana mereka hanya menunggu sedikit sahaja ‘spark’ untuk mencetuskan isu.

“Memang ramai aktivis politik di luar sana beriman secara totok akan ideologi untuk menghapuskan sistem monarki di Malaysia ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button