Berita Utama

Gantung Parlimen sukarkan proses perangi COVID-19

Langkah pemulihan bersifat top-to-bottom, sehala daripada kerajaan kepada rakyat

BANGI, 14 Ramadan 1442H, Isnin – Institusi dan organ demokrasi yang digantung seperti sekarang tidak akan memudahkan proses memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. 

Ini kerana, tidak wujud akauntabiliti terhadap tindakan kerajaan berikutan tiada proses semak dan imbang, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujud kecenderungan dan kecuaian kerajaan dalam membuat pelbagai keputusan yang tidak perlu, yang dialas dengan alasan darurat dan usaha membendung pandemik.

“Segala tindakan dan langkah pemulihan yang diambil pula hanya bersifat top-to-bottom, yakni sehala daripada kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Lebih ralat, kata beliau, sekali pun selepas diisytiharkan darurat, negara tidak pula menyaksikan sebarang perbezaan daripada segi keberkesanan strategi mahupun keputusan kerajaan.

Walhal, beliau berkata, negara telah berjaya mengekang wabak ini sebelum ini sekali pun tanpa pengisytiharan darurat.

“Jadi, bukankah lebih baik jika segala dasar dan keputusan tersebut dibahas dan dibincangkan dengan telus dan konstruktif dalam Parlimen. 

“… dan tidak dibiarkan untuk diputuskan oleh Perdana Menteri secara mutlak sahaja, ” katanya. 

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Katanya, kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan (constitutional responsibilities) untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen.

“…namun keutamaan pada masa ini adalah memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button