Dunia

ICU terbakar: Korban di hospital Iraq kini 82 orang

Kabinet gantung menteri kesihatan, gabenor Baghdad, pecat pengarah hospital

BAGHDAD, 14 Ramadan 1442H, Isnin – Angka kematian akibat kebakaran besar di unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 di sebuah hospital Baghdad meningkat kepada 82 orang pada Ahad. 

Kejadian di Hospital Ibn al-Khatib itu menyebabkan kerajaan Iraq bertindak menggantung pegawai kesihatan tertinggi kerana didakwa lalai. 

Pegawai memaklumkan, kebakaran yang turut mencederakan 110 yang lain tercetus akibat daripada letupan silinder oksigen. 

Kakitangan perubatan, Maher Ahmed berkata, api merebak dengan cepat di ruang pengasingan tingkat dua hospital dalam masa tiga hingga empat minit selepas silinder oksigen meletup.

“Sebilangan mangsa yang terbunuh mengalami luka terbakar yang teruk, sementara ada juga yang lemas akibat asap kerana tidak mahu meninggalkan ahli keluarga mereka yang bergantung pada alat ventilator.

“Pesakit juga tidak dapat dipindahkan. Mereka ada beberapa minit untuk hidup tanpa oksigen,” katanya. 

Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhimi berkata, kecuaian pegawai kesihatan adalah faktor yang perlu dipersalahkan, sehingga Kabinet memutuskan menggantung pegawai penting termasuk menteri kesihatan dan gabenor wilayah Baghdad. 

Jawatan lain seperti pengarah hospital pula dipecat serta-merta. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button