Berita Utama

Kelantangan Ramasamy dipersoal, sengaja apikan hubungan antara agama?

Adakah arak dan judi itu ‘nilai Malaysia’ di sisi DAP?

BANGI, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kelantangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy membantah keputusan kerajaan negeri Kedah yang tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta menjadi persoalan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, walhal baru-baru ini, Persatuan Hindu Pulau Pinang dalam satu kenyataan media menyokong larangan penjualan arak di Kuala Lumpur. 

“Mereka juga menyatakan arak merosakkan institusi keluarga dan masyarakat. Pendirian ini pun tidak asing di negara-negara luar pun, hatta di negara-negara kafir Barat sekali pun. 

“Jadi, mengapa Ramasamy terlalu cepat melatah dengan seolah-olah mahu mengapi-apikan antara Islam dan bukan Islam? Inilah yang dikatakan ekstrem melampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, tindakan Ramasamy yang merupakan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu terus melabel langkah ini sebagai isu agama iaitu menafikan hak agama lain untuk berjudi dan minum arak adalah satu penghinaan.

“Saya rasa ini satu penghinaan kepada agama-agama lain kerana berjudi dan minum arak bukan tuntutan mana-mana agama pun. 

“Agama manakah yang mengesyorkan berjudi dan minum arak yang membawa kerosakan?,” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, DAP sering melaung-laungkan retorik ‘Malaysia First’ berbanding agama dan bangsa. 

“Mengapakah dalam isu ini lain sangat bunyinya? Bukankah kesejahteraan tanpa judi dan arak itu salah satu nilai Malaysia?

“Atau apakah itu bukan ‘nilai Malaysia’ yang difahami oleh DAP? Apakah arak dan judi itu adalah ‘nilai Malaysia’ di sisi mereka?,” katanya.

Justeru, walau apa pun keadaan serta bantahan yang muncul, Aminuddin berharap kerajaan Kedah benar-benar laksanakan perkara ini.

“Jangan ini hanya berita bersorak sementara waktu sahaja, kerana kita sudah bosan dengan gimik-gimik politik yang akhirnya ‘U-turn’ senyap-senyap apabila dekat pilihan raya.

“Saya harap semua pihak sokong dan sama-sama kita pastikan ianya berjaya, dan akhirnya diikuti oleh negeri-negeri lain ke arah masyarakat yang sihat dan sejahtera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button