Berita Utama

Komik ‘Superman Hew’ kekal diharamkan

'Kandungan buku mungkin menjejaskan ketenteraman awam'

KUALA LUMPUR, 14 Ramadan 1442H, Isnin – Pengharaman buku komik kontroversial ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’, yang ditulis bekas ahli DAP, Dr Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai “Superman Hew”, kekal.

Ini setelah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin menolak permohonan Hew untuk semakan kehakiman bagi mencabar pengharaman buku tersebut.

Dalam penghakimannya, Noorin memutuskan, keputusan Menteri Dalam Negeri untuk mengharamkan buku itu adalah sah, wajar dan tidak boleh diganggu oleh mahkamah.

“Kandungan buku ini kemungkinan menjejaskan ketenteraman awam. Buku ini telah menimbulkan kemarahan di negara ini dan mesti disekat bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Menteri Dalam Negeri juga menyedari bahawa kandungan buku tersebut tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama dan ia boleh memecahbelahkan perpaduan.

“Oleh itu, tidak ada yang menyalahi undang-undang mengenai keputusan menteri dalam mengeluarkan perintah itu … Kerajaan mempunyai hak untuk menjaga keamanan dan ketenteraman awam,” kata hakim.

Hakim itu berkata, keputusan menteri itu juga dibuat setelah mempertimbangkan komen media sosial dan laporan polis yang dibuat oleh orang ramai mengenai buku tersebut.

“Mahkamah ini mendapati tiada merit dalam permohonan semakan kehakiman dan menolaknya dengan kos RM5,000,” katanya sambil menambah bahawa Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan adalah berpelembagaan dan sah.

Pada 6 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan Hew meneruskan semakan kehakiman terhadap pengharaman buku komik itu.

Permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan perintah pengharaman oleh Menteri Dalam Negeri dan warta Peguam Negara (AGC) berhubung perintah itu yang bertarikh 23 Okt 2019.

Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 26 November 2019, Menteri Dalam Negeri (yang tidak dinamakan), Kementerian Dalam Negeri, AGC dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden.

Hew, adalah pengarang bersama buku komik yang diterbitkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina. Perintah pengharaman itu untuk ketiga-tiga bahasa.

Buku ini didakwa bermaksud mengagung-agungkan China serta Inisiatif Jalur dan Jalan, sementara dunia Barat diberi gambaran negatif.

Hew mendakwa lebih 2,000 salinan bukunya dirampas oleh kementerian di seluruh negara manakala 13 salinan lagi dalam versi bahasa Cina di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Pulau Pinang, dalam pelaksanaan perintah pengharaman itu.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak berperlembagaan serta batal dan tidak sah.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, peguam Datuk J. Shamesh yang mewakili Hew berkata beliau menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya sama ada akan meneruskan rayuan terhadap keputusan tersebut atau sebaliknya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili responden. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button