Dunia

Mesir lanjut darurat 3 bulan lagi

Tempoh ambil kira keadaan keselamatan, kesihatan serius negara

KAHERAH, 14 Ramadan 1442H, Isnin – Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi mengumumkan lanjutan tempoh darurat selama tiga bulan di seluruh negara, yang telah dilaksanakan sejak April 2017. 

Keputusan pada Ahad yang diterbitkan dalam Warta Rasmi memaklumkan lanjutan tempoh berkenaan adalah mengambil kira keadaan keselamatan dan kesihatan yang serius dilalui negara itu. 

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan Mesir berkata, pihaknya menghantar bantuan dan peralatan kepada kerajaan Sohag apabila kakitangan perubatan mengadu kekurangan sumber daya untuk menangani lonjakan kes COVID-19. 

Lonjakan kes dilaporkan di wilayah – hampir 400km dari ibu negara Kaherah – menimbulkan kebimbangan terhadap gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di Mesir, di mana sekatan pergerakan dan ketetapan ketat lain telah dibenarkan setelah gelombang pertama. 

Bantuan ke Sohag merangkumi pasukan lawatan ke rumah, bekalan oksigen dan ventilator, serta memperluaskan kapasiti kemasukan ke hospital. 

Kenyataan itu susulan aduan di media sosial yang mendakwa terdapat kekurangan perkhidmatan kesihatan awam dan akses rawatan di tengah peningkatan jangkitan COVID-19 di wilayah itu. Kementerian bagaimanapun menolak dakwaan itu. 

Mesir mencatatkan kira-kira 220,000 kes COVID-19 dan hampir 13,000 kematian. Jangkitan meningkat dalam beberapa minggu terakhir sekitar awal Ramadan. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button