Berita Utama

2.7 tan lobak merah dari China dirampas

Label lobak berbeza berbanding diikrarkan dalam sijil perakuan

JOHOR BAHRU, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Sebanyak 2.7 tan lobak merah dari China dirampas Jabatan Perkidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, semalam.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim berkata, rampasan dilakukan selepas pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguat kuasa MAQIS pada jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati maklumat label lobak merah berkenaan adalah berbeza berbanding seperti diikrarkan dalam sijil perakuan yang dikemukakan.

“Lobak merah dianggarkan bernilai RM75,800 itu dirampas bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hizzuan berkata, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM75,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menasihatkan pengimport dan pengeksport supaya sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button