Berita Utama

Agenda perkasa sekolah kebangsaan seolah-olah dipandang sepi?

Ibu bapa kesal terpaksa hantar anak ke sekolah jauh dari tempat tinggal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Mengapa sehingga sekarang agenda memperkasakan sekolah kebangsaan bagaikan dipandang sepi?

Jika dahulu, berdegar-degar agenda itu dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2006-2010 ketika Datuk Seri Hishamuddin Hussin menjadi Menteri Pelajaran.

Namun kini, ia seolah-olah ‘indah khabar dari rupa’, walhal sekolah kebangsaan sudah dirancang dan diberi harapan untuk menjadi selolah aliran perdana utama di dalam negara ini.

Lebih menggusarkan, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin berkata, senario hari ini semakin teruk dengan kebanyakan sekolah kebangsaan semakin padat dengan pelajar sehingga mereka terpaksa meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) dalam suasana yang tidak kondusif.

“Ada ibu bapa yang mengeluh apabila sekolah dah penuh, mereka terpaksa hantar anak-anak di kawasan luar daripada tempat tinggal. Ada yang sekolahnya jauh, bukan semua orang mampu hantar anak ke sekolah yang jauh.

“Patutnya sekolah kebangsaan ditambah lagi jumlahnya dan diperkasakan. Tak perlu bina lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). KPM sebelum ini kata dah peruntukkan penambahan 10 buah SJKC. Kami tolak. Ia boleh dibatalkan, itu patutnya jadi hak SK.

“Hari ini cuba bayangkan, seluruh Malaysia banyak kawasan perumahan yang menghadapi masalah tidak ada SK. Contohnya kawasan perumahan di kawasan Puchong menghala ke Putrajaya, atau pun Alam Impian di Shah Alam juga tidak ada sekolah kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Abdul Raof berkata, Menteri Pendidikan baik yang Melayu ataupun Cina sepatutnya lebih bertanggungjawab dan teliti dalam memelihara sekolah kebangsaan.

Beliau turut menggesa supaya infrastruktur di sekolah kebangsaaan ditingkatkan kualitinya.

“Infrastruktur mestilah lengkap seperti sekolah wawasan. Apabila sekolah kebangsaan diperkasakan, orang Cina, orang India pun nak masuk sekolah kebangsaan.

“Selain itu, tingkatkan juga kualiti guru besar, kena latih sebagai pengurus kurikulum bukan pengurus sekolah sahaja,” katanya.

Justeru, beliau sangat berharap KPM dapat menjadi lebih agresif dalam memperkasakan agenda yang telah sekian lama diperjuangkan ini tanpa sebarang kompromi.

“Kerana manfaat yang akan diperolehi adalah untuk semua, bukan anak Melayu sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button