Berita Utama

Gurauan rogol: Dua portal lapor tajuk berita mengelirukan

Tidak beri gambaran tepat kenyataan Timbalan IGP

BANGI, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa dua portal tempatan telah mengeluarkan tajuk berita yang mengelirukan berhubung kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengenai isu gurauan rogol, semalam.

Salah sebuah portal berita terbabit menyiarkan berita bertajuk Timbalan IGP sifatkan ugutan rogol ‘mungkin gurauan rakan sedarjah’.

Manakala sebuah lagi portal berita menyiarkan tajuk ‘Pelajar wanita dihina diugut rogol, Acryl Sani: Rakan sekelas mungkin bergurau.’

Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman, Superintendan Skandaguru Anandan berkata, tajuk berita berkenaan amat mengelirukan kerana tidak memberi gambaran tepat kenyataan sebenar dibuat ketika sidang media pada 26 April lalu.

“Laporan yang hanya merujuk kepada sebahagian respon dan menggambarkannya sebagai intipati kenyataan tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ia boleh menimbulkan kegusaran masyarakat, mencemar kredibiliti polis serta mewujudkan spekulasi negatif terhadap mangsa dalam kes tersebut,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Dalam pada itu, Skandaguru berkata, tiada mana-mana aspek dalam kes itu dianggap gurauan kerana polis memandang serius setiap laporan diterima.

Katanya, pihak polis malah memberi komitmen menjalankan siasatan terperinci.

“Kebertanggungjawaban pihak media dalam melaporkan kes sebegini amat diperlukan bagi mengelak persepsi salah terbentuk dalam kalangan masyarakat, sebelum proses siasatan diselesaikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button