Berita UtamaDunia

Israel halang penduduk Baitulmaqdis mengundi, Palestin batal pilihan raya?

Terima tekanan dari AS, dakwa kemenangan tak berpihak pada Fatah

BAITULMAQDIS, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkemungkinan membatalkan pilihan raya negara itu atas alasan negara penjajah Israel melarang penduduk Baitulmaqdis mengundi.

Difahamkan, pemimpin Palestin akan bersidang di Ramallah pada Khamis ini.

Radio Tentera Israel melaporkan bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) telah memberitahu wakil masyarakat antarabangsa, Jordan dan Mesir mengenai keputusan itu.

Pegawai PA berkata, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan Islamic Jihad turut dijemput menghadiri pertemuan itu, di mana Mahmoud yang juga Ketua Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Gerakan Fatah akan membuat pengumuman berkenaan.

Sebelum ini, Mahmoud dan beberapa pegawai Fatah berulang kali menegaskan bahawa pilihan raya tidak akan diadakan tanpa penyertaan rakyat Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki.

Sementara itu, akhbar Al-Quds melaporkan bahawa sumber mendakwa, PA turut memutuskan untuk membatalkan pilihan raya berpunca daripada tekanan Amerika Syarikat (AS) dan negara Arab.

Hal ini kerana AS dan negara-negara serantau meyakini bahawa keputusan pilihan raya kali ini tidak akan memihak kepada Fatah.

AS turut khuathir kemenangan itu sebaliknya akan memihak kepada Hamas.

Pembatalan pilihan raya itu menyebabkan hak demokratik rakyat Palestin untuk memilih wakil rakyat secara bebas dan adil sekali lagi dinafikan.

Sumber sama turut melaporkan bahawa AS berjanji kepada PA bahawa negara itu akan memperkenalkan beberapa langkah sebelum pilihan raya.

Ia termasuk mengembalikan bantuan kepada Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA), memulihkan bantuan kesihatan Palestin, membuka kembali Konsulat AS di Baitulmaqdis yang diduduki serta membuka kembali pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa, perkara itu adalah janji-janji kosong bagi mendorong Mahmoud membatalkan pilihan raya. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button