Berita UtamaDunia

Jangan bayar bil dan pinjaman pertanian, desak aktivis Myanmar

Aktivis tolak konsensus dicapai antara pemimpin ASEAN

YANGON, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Aktivis yang menentang junta Myanmar menggesa orang ramai  tidak membayar bil elektrik dan pinjaman pertanian, sebagai sebahagian daripada protes terbaharu sejak rampasan kuasa Februari lalu.

Aktivis pro-demokrasi, Khant Wai Phyo menerusi ucapan pada tunjuk perasaan di bandar Monywa, menggesa ibu bapa untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

“Kita semua mesti bekerjasama melakukan boikot bagi menentang junta tentera.

“Kita tidak terlibat dalam sistem mereka, kita tidak bekerjasama dengan mereka,” tegasnya.

Agensi bantuan antarabangsa telah memberi amaran bahawa protes tersebut telah melumpuhkan ekonomi dan meningkatkan prospek kelaparan.

Pergerakan sosial juga menimbulkan keraguan baharu mengenai tawaran baru-baru ini oleh blok wilayah untuk mengakhiri krisis pasca rampasan kuasa.

Aktivis menentang kesepakatan dicapai antara ketua junta dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kononnya untuk mengakhiri pergolakan.

Pemimpin 10 negara anggota ASEAN bertemu dengan Min Aung Hlaing pada sidang kemuncak di ibu negara Indonesia, Jakarta, pada Sabtu lalu. 

Menurut kenyataan ketua ASEAN Sultan Brunei Darussalam, sebuah konsensus dicapai di Jakarta.

Lima perkara utama digariskan antaranya mengakhiri kekerasan, mengadakan dialog konstruktif di antara semua pihak, menghantar utusan khusus ASEAN, penerimaan bantuan dan kunjungan utusan ke Myanmar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button