Berita Utama

Kerajaan perlu lebih serius tangani kenaikan mendadak harga barang

Pantau secara menyeluruh dari pembekal, pemborong hingga peniaga

BANGI, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Kerajaan perlu mengawal harga barangan pada setiap rantaian bekalan supaya tindakan mengenakan harga maksimum tidak terbeban kepada satu pihak sahaja.

Ahli Dewan Negara, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, kerajaan juga wajar memikirkan suatu mekanisma yang efisien sebagai jalan penyelesaian kepada kos penternakan yang turut meningkat.

“Saya gesa pihak kerajaan agar lebih serius dalam menangani isu kenaikan harga barangan pengguna seperti ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran yang dilaporkan telah meningkat secara mendadak.

“Justeru, saya cadangkan supaya buat pemantauan dan pemerkasaan secara menyeluruh bermula dari pembekal dan pemborong sehinggalah kepada peniaga yang terakhir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tindakan ini, katanya, memerlukan usaha yang berterusan dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk turun padang agar solusi terbaik dapat dihasilkan demi kepentingan semua pihak.

“Selain itu, amaran dan hukuman setimpal juga wajar dilaksanakan kepada pelaku yang tidak bertanggungjawab.

“Ini supaya menjadi pengajaran yang berguna kepada orang lain terutamanya ketika rakyat dan negara ini masih dalam fasa meningkatkan taraf ekonomi masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Utusan melaporkan bahawa kenaikan harga barang telah pun dirasai seminggu sebelum bermulanya Ramadan.

Peniaga yang ditemui berkata, sikap ‘orang tengah’ atau pembekal yang mengambil kesempatan menaikkan harga antara faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan dan keadaan berlanjutan apabila tiba bulan Ramadan.

Susulan bekalan yang tidak mencukupi, peniaga terpaksa menaikkan harga bagi sesetengah sayur dan ikan yang mengalami kekurangan bekalan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button