Berita UtamaDunia

Kes COVID-19 melonjak, Turki laksana perintah berkurung

Sekolah ditutup, had kapasiti ketat pengguna pengangkutan awam

ANKARA, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara berkuat kuasa Khamis ini hingga 17 Mei depan.

Erdogan berkata, semua perjalanan antara bandar memerlukan kebenaran rasmi, semua sekolah akan ditutup – pelajaran dipindahkan dalam talian – bahkan had kapasiti yang ketat akan dikenakan untuk pengguna pengangkutan awam.

Warga Turki perlu berada di rumah kecuali untuk membeli barang keperluan penting dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Kumpulan tertentu termasuk pekerja perkhidmatan kecemasan dan pekerja di sektor makanan dan pembuatan akan dikecualikan.

Jumlah kes harian perlu turun di bawah 5,000 menjelang akhir bulan Ramadan, kata Erdogan selepas mesyuarat Kabinet.

Pengumuman terbaru dalam sekatan COVID-19 itu sebulan selepas pembukaan semula sekolah dan restoran susulan penurunan kadar jangkitan.

Meskipun telah mengambil tindakan pantas untuk memerangi penyebaran virus, tindak balas Turki terhadap pandemik itu telah menyaksikan peningkatan besar kes pada bulan ini.

Jumlah kes harian mencecah lebih 63,000 pada 16 April sebelum turun mendadak menjadi lebih daripada 37,000 pada Isnin lalu, sementara jumlah kematian harian tetap di atas 300 untuk minggu lepas.

Angka kematian rasmi Ankara akibat virus itu adalah 38,711. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button