Berita Utama

KKM semak semula kes peniaga burger dikompaun RM50,000

Peniaga terbabit diminta kemuka rayuan kompaun secepat mungkin

PUTRAJAYA, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuat penilaian semula terhadap kes seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, sama ada diberi pengurangan atau pengecualian, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

“KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus dan perlu ditangani segera.

“Untuk itu, KKM akan membuat penilaian semula bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung isu kompaun RM50,000 terhadap peniaga burger kerana berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Tular di media sosial seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga di hadapan rumahnya pada kira-kira 11 malam.

Dr Adham berkata, tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukannya menghukum semata-mata.

Jelasnya, mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button