Berita Utama

Mufti Kelantan nasihat warga emas jangan risau terima suntikan vaksin

Tak sakit, kalau ada pun mungkin lenguh-lenguh sedikit pada bahu

KOTA BHARU, 15 Ramadan 1442H, Selasa – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pengalamannya dijangkiti COVID-19 tahun lepas sehingga terpaksa dirawat 16 hari di hospital menyedarkan beliau betapa pentingnya suntikan vaksin.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai khususnya yang berusia 60 tahun ke atas agar tidak perlu risau dengan vaksin yang dibekalkan kerana ia tidak mengandungi bahan terlarang.

“Saya menyeru kepada umat Islam yang akan menerima suntikan vaksin COVID-19 supaya menerimanya dengan penuh keyakinan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia langsung tidak menyakitkan. Kalau adapun mungkin lenguh-lenguh sedikit pada bahu selepas suntikan,” katanya yang turut menerima suntikan bagi Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Tunjong, di sini hari ini.

Mufti Kelantan itu adalah antara 432 warga emas yang menerima suntikan hari ini.

Mohammad Shukri yang berusia 75 tahun dijadual menerima suntikan kali kedua pada 18 Mei bersama isterinya, Salmiah Mat Zainal, 73.

Pada 17 Mac 2020, Mohamad Shukri menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas disahkan positif COVID-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan kerajaan memperkenalkan program suntikan secara percuma kepada rakyat amat tepat.

“Orang ramai perlu mengambil suntikan ini dan mana-mana individu yang sudah mendaftar dan menerima panggilan supaya hadir menerima suntikan perlulah datang,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin turut melawat dan menyaksikan proses suntikan ke atas warga emas di PPV Tunjong.

Selain PPV Tunjong, program imunisasi ini juga telah diadakan di PPV Pasir Mas dan Pasir Puteh, selain akan dijalankan di empat lagi kawasan termasuk di Kuala Krai dan Tanah Merah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button