Berita Utama

Dikompaun RM50,000, peniaga pasrah jika kedai runcit dirampas

Kedai runcit sudah ditutup ketika didatangi anggota polis

KOTA BHARU, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Seorang peniaga pasrah sekiranya pihak berkuasa merampas kedai runcitnya sebagai ganti akibat tidak mampu membayar kompaun sebanyak RM50,000.

Mansah Marjurin, 47, antara tiga peniaga dikenakan kompaun dengan jumlah tinggi pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang berniaga di kedai runcit di Jalan Chempaka, di sini, mengakui tidak berkemampuan untuk membayar kompaun terbabit, tambahan pula bayaran rumahnya juga sudah tertunggak tujuh bulan selain sebuah kereta ditarik oleh pihak bank sejak PKP.

“Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mansah berkata, ketika beliau didatangi empat anggota polis pada jam 11.40 malam, kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya yang juga bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun.

Beliau yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang mengakui sangat terkejut dengan jumlah kompaun yang dikenakan, kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isterinya juga tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap ada pihak tampil membantunya serta dua peniaga lain yang dikenakan jumlah kompaun sama.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, Ahad lalu.

Beliau dilapor berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

“Peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button