Berita Utama

Kesiapsiagaan armada TLDM berada pada tahap terbaik: PTL

Untuk itu TLDM perlu dilengkapi dengan keupayaan angkatan kredibel

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan armada TLDM sentiasa berada pada tahap terbaik sebagai sebuah kuasa maritim negara.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata dalam usaha untuk ke arah itu, TLDM perlu dilengkapi dengan keupayaan angkatan yang kredibel.

Beliau berkata ia bukanlah perkara yang mudah untuk dicapai kerana sebahagian besar daripada kapal TLDM kini telah berusia lebih 30 tahun.

“Ini merupakan satu daripada cabaran yang perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam teks ucapan Panglima TLDM yang dibacakan oleh Pengarah Kanan Perancangan dan Pembangunan Laksamana Pertama Fadhil Abdul Rahman di KD Sri Gombak, di sini.

Dalam pada itu, Mohd Reza berkata dalam tempoh COVID-19 melanda negara, penggunaan aset-aset TLDM turut meningkat melalui penglibatan TLDM dalam Operasi Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini.

“Adalah wajar untuk TLDM bertindak dengan lebih bijak dan kreatif dalam menentukan kesiagaan aset sentiasa pada tahap terbaik walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran itu (wabak COVID-19),” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button