Berita Utama

Siasat, tangani budaya sembang lucah terutama di sekolah

Guru wajib jaga tingkah laku, tutur kata bila berdepan murid

BANGI, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Tindakan bercerita atau membuat lawak jenaka berbaur lucah dengan murid adalah satu pelakuan yang boleh dianggap gangguan seksual.

Sebaiknya, sebarang gurauan berbaur lucah patut dielakkan walau di mana sahaja, apatah lagi berhadapan dengan murid-murid di sekolah.

Justeru, Biro Keluarga dan Masyarakat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa, isu video tular membabitkan gurauan guru lelaki yang membuat lawak lucah baru-baru ini, disiasat dan ditangani sebaiknya oleh pihak berkuasa.

Pengerusinya, Hajah Asma Ahmad berkata, menjadi kewajiban seorang guru menjaga tutur kata sepanjang proses pengajaran, bahkan menunjukkan contoh yang baik kepada murid bukan sahaja dari segi tingkah laku, malah juga bahasa.

“Guru haruslah sentiasa ingat bahawa peranan mereka sangat besar dan sangat penting kepada murid-murid.

“Guru merupakan role model yang paling hampir kepada murid,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, tular video di laman ‘Tik Tok’ seorang murid perempuan mengenai gurauan guru lelaki yang membuat lawak lucah tentang gangguan seksual di dalam kelas ketika sesi pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Susulan daripada tularnya video itu, murid terbabit didakwa menerima ugutan rogol daripada rakan sekelasnya.

Mengulas perkara itu, Hajah Asma berkata, Kementerian Sumber Manusia mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis antaranya adalah secara lisan.

Katanya, ia meliputi kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan-soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak. Sebarang gangguan seharusnya ditangani dengan baik oleh pihak sekolah termasuklah gangguan seksual.

“Semaikan budaya saling menghormati antara guru dan murid, juga antara murid lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya menghindarkan segala bentuk perbuatan atau kata-kata yang berbaur lucah yang boleh mengancam maruah wanita.

“Realitinya sembang lucah ini berlaku bukan sekadar di sekolah malah di kebanyakan tempat.

“Justeru, Biro Keluarga dan Masyarakat ingin memberi penekanan kepada masyarakat agar hentikan budaya sembang bahasa lucah ini kerana ia boleh merosakkan akhlak generasi akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button