Berita Utama

‘Tak masuk akal’ netizen kesal peniaga dikompaun RM50,000

Jika COVID-19 masih menular, bolehkah rakyat saman KKM kerana lalai?

BANGI, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dan tidak berpuas dengan tindakan pihak berkuasa yang mengenakan jumlah kompaun sehingga RM50,000 kepada individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, seorang peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, kesal kerana dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana beroperasi lebih masa.

Turut mengalami nasib sama adalah peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47.

Ketiga-tiga kejadian dilaporkan berlaku di Kota Bharu, Kelantan.

Tidak senang dengan perkara itu, pengguna Facebook dikenali Muhamad Faiz berkata, jumlah kompaun berkenaan adalah tidak masuk akal.

Beliau berkata, peniaga colek berkenaan menyiapkan tempahan kepada pelanggan yang datang hanya sebelum jam 11 malam.

“Bukannya ambil order selepas pukul 11. Setahun lebih COVID, tapi procedure masih lagi huru-hara,” katanya kesal.

Pengguna Duka Lara yang turut berpendapat sama berkata, tindakan kompaun itu seolah-olah tidak wajar kerana peniaga hanya berniaga di hadapan rumah dan tidak mempunyai sebarang pelanggan ketika dikompaun.

Dalam keadaan sukar ketika PKP, katanya, pihak berkuasa tidak patut sewenang-wenangnya menyaman rakyat.

“Kalau dia berniaga sekali pun, setakat tokey (pemilik) kedai je ada itu pun nak saman,” soalnya.

“Kompaun RM50,000 memang tak masuk akal. Masuk akal peniaga burger bukan untung banyak pun. Tetapi sebagai peniaga ikut SOP yang kerajaan tetapkan,” kata pengguna Beca Beca Antik Antik

Sementara itu, Roslentino Bravo dalam tulisannya menunding jari ke arah menteri yang tiada garis panduan kompaun yang ditetapkan bagi kesalahan yang tidak mengikut SOP.

“Nothing tolerance to avoid repeat (tiada toleransi untuk elak kesalahan sama).

“Nonsense (Merepek). Pegawai yang mengeluarkan saman sedap je la jawab kami menjalankan tugas. Mana kamu punya sifat kemanusiaan budi bicara mana,” katanya.

“Semoga selepas kompaun yang RM50,000 tu dapat membanteras COVID-19, tetapi sebaliknya jika COVID-19 masih menular boleh ke rakyat Malaysia saman KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) kerana kelalaian?” soal Halim Abdul Rahim.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button