Berita Utama

UPSR mansuh tahun ini, PT3 2021 dibatalkan

Kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan PBS

KUALA LUMPUR, 16 Ramadan 1442H, Rabu – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau turut memaklumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Radzi mengumumkan perkara itu menerusi sidang media khas di sini hari ini.

-“Selaras dengan pemansuhan UPSR, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) bagi murid berkeperluan khas masalah pembelajaran juga dimansuhkan,” katanya.

Beliau berkata dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini dan kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Menjelas lanjut, Radzi berkata keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus melibatkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.

Beliau berkata antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.

Malah katanya, ada guru-guru menceritakan bagaimana mereka terpaksa ‘mencuri’ masa mata pelajaran lain yang tiada peperiksaan khusus bagi membolehkan tumpuan diberi untuk murid-murid membuat persiapan UPSR, sekali gus mengurangkan ruang untuk guru menggunakan kreativiti dalam menyampaikan pengajaran di sekolah.

Ibu bapa pula, kata beliau, ada yang berkongsi bagaimana tumpuan kepada UPSR yang dianggap sebagai peperiksaan penting itu telah menyebabkan anak-anak mereka mendapat ruang terhad terhadap aspek lain dalam pendidikan memandangkan ada yang mula dihantar ke kelas tuisyen seawal Tahun 1. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button