Berita Utama

Tiada pertembungan BN-PAS di Pahang atas semangat MN

Setuju dengan formula kekalkan kerusi DUN dimenangi PRU lalu

KUANTAN, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Tiada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pahang berdasarkan semangat dan keikhlasan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Perkara itu dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Pesuruhjaya PAS negeri Rosli Abdul Jabar menerusi satu kenyataan yang ditandatangani bersama.

Pimpinan MN negeri ini, menurut Wan Rosdy dan Rosli, melihat kerjasama politik itu perlu dipertahankan demi kestabilan dan kemakmuran negeri selain Pahang harus menjadi pengasas trend dan model perpaduan ummah yang padu dan jitu di Malaysia.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri berkata kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu, manakala perbincangan lanjut diperlukan bagi sembilan kerusi di bawah Pakatan Harapan (PH).

“UMNO Pahang berhasrat tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi dimenangi PAS pada PRU ke-14 dan tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan calon yang bertanding di kerusi tersebut kecuali calon PAS.

“Begitu sebaliknya, PAS dengan berpandukan persetujuan dan pendirian PAS Pusat, tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi DUN dimenangi UMNO dan BN serta tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan pihak lain yang bertanding di 25 kerusi itu,” katanya.

UMNO menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala satu lagi kerusi BN diperoleh menerusi MCA pada PRU ke-14.

Sementara itu, Rosli semasa ditemui berkata PAS negeri akan memaklumkan kepada pimpinan PAS Pusat supaya mereka diberikan sedikit kebebasan dalam menentukan hala tuju pada pilihan raya akan datang.

Ditanya mengenai kerjasama PAS negeri dalam Perikatan Nasional Pahang bersama Bersatu dan Gerakan, Rosli hanya berkata: “perkara akan datang dibiarkan akan datang dan bukan untuk dijawab sekarang”. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button