Berita Utama

Desakan Parlimen bersidang sangat kuat, kerajaan terpaksa akur

Muhyiddin mungkin hilang kepercayaan anggota Dewan Rakyat

BANGI, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Desakan supaya pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang ketika ini dilihat sangat kuat.

Sekiranya perkara itu berlaku, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin berdepan undian yang membuktikan bahawa beliau hilang kepercayaan anggota Dewan Rakyat, sekali gus memerlukan Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jika tiada tokoh lain yang ada majoriti, Parlimen perlu dibubarkan.

“Dalam masa 60 hari perlu diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Desakan agar Parlimen bersidang sangat kuat. Kerajaan akhirnya terpaksa akur.

“Semua kena bersedia ke arah itu,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Fathi turut mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 di India yang dianggap luar biasa mendadak.

“Jumlah kematian pada hari semalam 28 April 2021 adalah 3,647. Jumlah kes baru pula pada hari itu pula 379,459. Jumlah kematian dan jangkitan semakin naik dari hari ke hari.

“Dalam laporan disebut bahawa fenomena ini berlaku akibat kerajaan melonggarkan SOP. Pada 5 April, Menteri Kesihatan India berkata India dalam proses ‘end-game’ kepada pandemik.

“Dengan kelonggaran itu, dua bentuk aktiviti besar menjadi rancak. Pertamanya aktiviti politik – kempen pilihan raya. Keduanya aktiviti agama – antaranya Pesta Kumb dan perhimpunan besar di Sungai Gangga,” katanya.

Dibandingkan dengan langkah membendung COVID-19 di Malaysia, beliau berkata, kerajaan masih bertegas.

“Aktiviti keagamaan terkawal mengikut SOP. Aktiviti politik juga terkawal termasuklah pilihan raya yang dihalang melalui Proklamasi Darurat. Namun risiko tetap ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button