Berita Utama

Mansuh UPSR: Peluang kembang bakat pelajar sesuai keperluan abad 21

KPM digesa tambah baik sistem pendidikan dari sudut pedagogi

BANGI, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Pengumuman pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah satu bentuk pengesahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu peperiksaan itu menjadi satu bentuk pentaksiran baharu lebih holistik dan memenuhi aspirasi falsafah pendidikan kebangsaaan.

Pemansuhan peperiksaan itu juga dilihat satu keputusan strategik dari segi sesi libat urus KPM dengan semua pihak yang berkait dengan pendidikan khususnya kesatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan.

Menyambut baik keputusan itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya berharap ia dapat melegakan kebimbangan ibu bapa terhadap peperiksaan UPSR itu.

“Pengumuman ini perlu disambut dengan positif oleh semua pihak dan melihat kerangka pendidikan negara maju ke hadapan.

“Ia juga membolehkan kerangka fikir para guru terhadap murid lebih universal dan melihat setiap murid ada potensi dan bakat yang boleh dikembangkan sesuai dengan keperluan pendidikan abad 21 dan negara menuju IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa peperiksaan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini.

Beliau berkata, dengan pemansuhan UPSR, kaedah pentaksiran murid Tahun 6 akan diberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) mulai tahun ini, manakala kemasukan ke asrama untuk 2022, akan berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Jelasnya, keputusan pemansuhan UPSR itu dibuat setelah mendapat pandangan dan input menerusi pelbagai proses libat urus membabitkan lebih 1,700 peserta terdiri daripada guru, ibu bapa, murid serta kesatuan dan persatuan seluruh negara dalam pelbagai sesi yang diadakan.

Katanya, antara pandangan diperoleh dari sesi libat urus berkenaan daripada guru ialah apabila mereka terpaksa menghabiskan banyak masa di sekolah bagi memberi tumpuan untuk cuba menghabiskan sukatan pelajaran secepat mungkin bagi membolehkan latih tubi UPSR dapat dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Azizee berkata, pihaknya turut mengesa KPM memantapkan sistem pendidikan sedia ada dengan penambahbaikan dari sudut pedagogi.

Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan keciciran murid dalam pendidikan apabila berlaku pemindahan dari sekolah rendah ke menengah.

Selain itu, KPM juga perlu menjelaskan bentuk konsep pentaksiran baharu supaya dapat difahami semua pihak terutama para guru, ibu bapa dan pelajar agar pelaksanaan itu akan berjalan secara terancang serta tidak dilihat terburu-buru tanpa persediaan yang cukup.

“Para guru diharap dapat memantapkan dan meningkatkan kompetensi diri dalam penguasaan kaedah PdP (pengajaran dan pembelajaran) supaya keberkesanan PBD (Pentaksiran Bilik Darjah) mencapai objektif dalam pengukuran dan penilaian murid.

“iGuru juga mencadangkan sistem PKSK (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus) ditambah baik dari semasa ke semasa untuk melihat kemenjadian murid ke sekolah khusus itu adalah dari mereka yang benar-benar berkelayakan dan memenuhi objektif kewujudan sekolah khusus tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button