Berita Utama

Pelajar IPT di kampus dibenar pulang ke rumah sempena Aidilfitri

KPT tetapkan mekanisme kawalan, pergerakan pelajar secara berfasa

BANGI, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilftri kecuali di negeri Sarawak.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini kepada sektor pendidikan.

Katanya, pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan itu.

“KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 hingga 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah 15 hingga 20 Mei 2021,” kata kementerian itu, hari ini.

KPT berkata, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah serta kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Kementerian berkata, pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

“Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar,” katanya.

KPT berkata, mereka terbabit terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

“Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

“Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-88706777/6623/6628.

“Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button