Berita Utama

WAFIQ-MRM meterai persefahaman kolaborasi perjuang hak wanita, mualaf

Tiga projek utama antaranya terbitkan laporan mengenai Islamophobia di Malaysia

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Ramadan 1442H, Khamis – Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) buat julung kalinya mengadakan kolaborasi bersama Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), bagi memperjuangkan hak wanita dan mualaf.

Menerusi kerjasama itu, tiga projek utama akan dilaksanakan antaranya menerbitkan laporan mengenai Islamophobia di Malaysia.

Turut membabitkan talian TeleWAFIQ – talian khusus untuk wanita muslim dan bukan muslim – klinik bantuan guaman sivil dan syariah, kaunselor serta pakar keluarga bagi kes rumah tangga, penceraian serta hak penjagaan anak anak, selain kes jenayah domestik.

Selain itu, menganjurkan beberapa bengkel literasi undang-undang dan hak asasi wanita bagi memberikan kesedaran kepada wanita di luar akan hak mereka.

Di samping itu, menjelaskan bagaimana memperjuangkan dengan cara yang betul dan bukannya dengan cara yang menyeleweng dari Perlembagaan serta undang-undang negara.

Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, pihaknya dan MRM akan saling bantu membantu sama ada dari sudut kepakaran mahupun kewangan.

“Kita tengok dari banyak isu seperti laporan Islamophobia, berkaitan rapat juga dengan isu mualaf dan wanita.

“Saya difahamkan dalam komuniti mualaf pun tidak asing dengan isu keganasan rumah tangga sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Prof Rafidah memaklumkan bahawa beliau dan Presiden MRM, Firdaus Wong Wai Hung sudah lama berhubung bagi membincangkan beberapa isu berkaitan.

“Kadang-kadang ada isu umat Islam sama-sama kami hadapiĀ  di media sosial. Apabila saya sampaikan mengenai TeleWAFIQ, Firdaus sendiri hubungi dan menawarkan kolaborasi pada 1 Ramadan lepas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button