Berita Utama

22 bazar Ramadan diarah tutup mulai esok

Keputusan dibuat setelah kenal pasti kawasan berisiko tinggi

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Sebanyak 22 bazar Ramadan di kawasan berisiko tinggi COVID-19 diarahkan untuk ditutup mulai esok (1 Mei) berikutan peningkatan jumlah jangkitan virus itu di negara ini.

Dalam surat bertarikh 30 April, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengatakan keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 28 April lalu.

22 bazar yang dikenal pasti terletak di Pulau Pinang (lapan), Johor (empat), Kedah (tiga), Pahang (dua), Selangor (dua), Kuala Lumpur (dua) dan Perak (satu).

“Kementerian telah menerima laporan dari HIDE (Hotspot Identification by Dynamic Engagement), Bank Negara yang mengesan risiko penyebaran COVID-19 di bazar Ramadan (di beberapa kawasan).

“Risiko penyebaran COVID-19 (di 22 bazar ini) dikenal pasti berikutan analisis penelusuran kontak rapat yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan melalui MySejahtera,” menurut surat itu yang dipetik New Straits Times.

Ia ditandatangani oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Surat itu juga menyatakan bahawa langkah untuk menutup bazar Ramadan diperlukan untuk meminimakan risiko penularan dan mencegah jumlah kes COVID-19 meningkat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button