Berita Utama

Hapus semua pengaruh pengganas komunis di negara ini

Tindakan popularkan fahaman komunis berniat jahat, ganggu keamanan negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ahmad Kamsani Samingan menyokong padu semua inisiatif untuk menghapuskan pengaruh pengganas komunis di negara ini dalam apa jua bentuk. 

Beliau berkata demikian susulan tuntutan pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang meminta tugu komunis Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dibina secara haram sejak sekian lama di Taman Peringatan Nilai, Negeri Sembilan segera dirobohkan.

Dr Ahmad Kamsani menegaskan, tugu sedemikian tidak layak dibiarkan tersergam di negara ini.

Bukan sahaja kerana kezaliman mereka suatu ketika dahulu di Tanah Melayu, malah, fahaman komunis itu sendiri bertentangan dengan jati diri bangsa dan agama serta fitrah kemanusiaan, tegas beliau.

“Pergerakan komunis wujud daripada pengaruh luar, bukannya datang daripada dalaman jati diri bangsa dan sejarah perjuangan terhadap penjajahan yang panjang.

“Sepatutnya, kita lebih menonjolkan asas-asas dan peninggalan perjuangan kemerdekaan asal telah diperjuangkan oleh generasi pejuang yang awal, bukannya mengambil perjuangan dari luar lebih-lebih lagi pengganas komunis,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan untuk mempopularkan fahaman dan ‘perjuangan’ komunis merupakan tindakan terancang dan berniat jahat untuk mengganggu keharmonian serta keamanan negara yang ditunjangi oleh Islam sebagai agama Persekutuan dan Melayu sebagai jati diri bangsa.

MPAJA merupakan sebuah gerakan bersenjata yang ditubuhkan, diuruskan dan dibiayai oleh Parti Komunis Malaya (PKM), telah memerintah Tanah Melayu selama 14 hari pada tahun 1946 selepas Jepun mengaku kalah.

Dalam tempoh 14 hari itu, pelbagai seksaan dan kezaliman yang dilakukan MPAJA terhadap orang Melayu, Cina dan India.

Mereka diseksa dan dibunuh secara kejam kerana didakwa menjadi kakitangan pentadbiran atau memberi pertolongan kepada Jepun semasa pemerintahan. 

Bagaimanapun, dilaporkan bahawa terdapat sebuah memorial atau tugu yang dibina untuk memperingati 18 orang pemimpin MPAJA yang dibunuh oleh tentera Jepun akibat pengkhianatan pemimpin kanan mereka sendiri pada 1 September 1942.

Terpahat pada memorial tersebut perkataan Hero 1 September.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button