Berita Utama

Kenaikan tol di 3 lebuh raya ditangguh

Kerajaan dianggarkan tanggung pampasan sebanyak RM2.25 bilion

BANGI, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Kerajaan bersetuju untuk menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Keputusan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet Rabu lalu, ekoran keprihatinan terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat akibat penularan wabak COVID-19. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penangguhan berkenaan membabitkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan kadar tol mulai 1 Januari 2021.

Katanya, ia membabitkan Lebuh raya Shah Alam (KESAS), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuh raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Selain itu, terdapat 21 lebuh raya dan satu plaza tol yang diteruskan penangguhan kenaikan kadar tol seperti sebelum ini untuk semua kelas kenderaan, katanya.

Ia membabitkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX.

“1 lebuh raya dan 2 plaza tol (ditangguhkan kenderaan kelas 1 dan kelas 5 sahaja), 1 lebuh raya dan 3 plaza tol (ditangguhkan kenderaan kelas 5 sahaja) dan 1 lebuh raya (ditangguhkan kenderaan kelas 2,3,4 dan 5 sahaja).

“Susulan penangguhan berkenaan anggaran pampasan yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM2.25 bilion dan perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih lagi berjalan, dengan Kabinet bersetuju untuk ianya dimuktamadkan sebelum 2023,” katanya.

Fadillah berkata, anggaran pampasan itu adalah berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button