Menteri tak patut ganggu urusan PDRM: Hamid Bador
KPN akui hubungan dengan Hamzah Zainuddin tak baik

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa pasukan berseragam biru perlu bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik.
Mengarahkan kenyataan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Hamid mengakui hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri itu tidak baik dan tidak harmoni, tidak seperti dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini turut pernah memegang jawatan sama.
“Seorang menteri tidak boleh mengganggu urusan harian Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dia hanya diberi mandat untuk menentukan dasar dan arah pasukan.
“Dan bukan untuk menentukan siapa yang harus dilantik sebagai (ketua polis negeri) atau pengarah jabatan ini dan jabatan itu. Itu bukan tugasnya (hak prerogatif).
“Saya ingin menjelaskan bahawa peranannya sebagai ketua Suruhanjaya Pasukan Polis ada hadnya,” kata Hamid pada sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman.
Beliau mendakwa, Hamzah telah menuntut kuasa untuk menentukan para pemegang jawatan yang berkuasa pada pertemuan pertama yang dipengerusikannya sebagai ketua suruhanjaya itu.
“Itu tidak baik. Tidak ada lagi keharmonian (dalam pasukan polis). Ini menyukarkan saya untuk ‘susun atur’ (menguruskan) pasukan tersebut.
“Dan kerana tindakan tersebut, akan mengakibatkan munculnya banyak kem (puak) di pasukan polis.
“Ada kem yang diselaraskan dengan IGP, kem yang diselaraskan dengan Timbalan IGP, kem yang diselaraskan dengan menteri – ini tidak baik (untuk kesatuan pasukan polis),” katanya.
Hamid memberitahu, beliau telah mengemukakan perkara itu dua kali dengan Muhyiddin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
“Saya melakukan itu. Saya menyampaikan kegusaran saya pada mereka tentang seseorang (yang) campur tangan (dalam urusan pasukan polis).
“Saya menghormati semua orang… Saya tidak takut siapa pun,” katanya.
Hamid turut membangkitkan kelemahan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang diketuai Hamzah.
Beliau mendakwa, di bawah kepimpinan Hamzah, masih banyak siasatan salah laku polis oleh SPP yang tergantung.
“Inilah situasinya. Isu tidak diambil serius. Bayangkan jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengendalikan urusannya seperti ini.
“Inilah sebabnya kenapa SPP tidak patut dipengerusikan oleh seorang menteri.
“Lebih baik serah kepada seorang hakim atau bekas hakim. Apabila ia disertai menteri, akan ada unsur politik,” katanya.