Berita Utama

Padah cuba sogok polis, 4 lelaki ditahan

Didakwa tawar wang RM30,000 bagi bebaskan rakan ditangkap

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Tindakan empat lelaki cuba menyogok polis supaya membebaskan lapan rakan yang ditangkap kerana disyaki terbabit kegiatan perjudian dalam talian, membawa padah apabila mereka ditahan atas tuduhan cuba merasuah.

Kejadian berlaku ketika empat individu terbabit datang ke sebuah apartmen di Jalan Changkat Perak, di sini, yang diserbu pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 3 pagi.

Dalam serbuan itu, tiga warga tempatan, termasuk seorang wanita dan lima lelaki warga China berusia antara 27 hingga 32 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika serbuan dilakukan, pasukan JSJ IPD Dang Wangi didatangi empat lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 39 tahun yang memperkenalkan diri sebagai rakan kepada individu ditangkap dalam serbuan itu.

“Suspek didakwa memaklumkan tujuan mereka datang ialah untuk menawarkan wang sebanyak RM30,000 bagi membebaskan semua tangkapan terbabit.

“Anggota polis di lokasi bertindak menolak tawaran itu, sekali gus memberi amaran kepada suspek supaya tidak mengganggu tugas mereka dan serbuan yang dijalankan.

“Bagaimanapun, suspek didakwa berdegil dan terus cuba menawarkan wang itu. Justeru, anggota menahan semua suspek berkenaan serta merampas wang tunai berjumlah RM30,000 yang dibawa dalam beg kertas dan beg silang,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan cubaan merasuah itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, pasukan JSJ IPD Dang Wangi kemudian meneruskan serbuan di dua lagi unit apartmen kira-kira jam 4 pagi dan menahan empat lelaki warga China.

Dalam keseluruhan serbuan terbabit, beliau berkata, polis turut merampas 10 telefon bimbit, lima kad sim, 108 daun terup, kad akses dan wang tunai RM4,524.

Semua 12 individu disyaki terbabit kegiatan perjudian itu ditahan mengikut Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button