Berita Utama

Seorang doktor antara 6 ditahan edar dadah

Polis merampas 11 paket disyaki ganja seberat 1,913 gram

KUALA LUMPUR, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Polis menahan enam lelaki termasuk seorang doktor hospital kerajaan di Selangor yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya turut menemukan 11 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1,913 gram dianggarkan bernilai RM4,900, di samping wang tunai RM1,450 dalam serbuan itu.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 26 dan 30 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam serbuan itu juga polis merampas empat kereta terdiri daripada Honda City, Perodua Viva, Perodua Myvi, Mitsubishi Triton dan sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo LC, semuanya dianggar bernilai RM139,500,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Hasil ujian saringan awal yang dijalankan, lima daripada suspek positif dadah dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button