Berita Utama

Tanah rizab PDRM: Semak besar-besaran pejabat tanah seluruh negara

'Jika ia mudah berlaku di satu negeri, pasti modus operandi sama digunakan di negeri lain'

BANGI, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) musykil sekiranya pejabat tanah tidak mengetahui bahawa tanah rizab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kamunting, Perak ditukar milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.

Lantaran itu, Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, sudah tiba masa pihak berkuasa melakukan semakan secara besar-besaran ke atas pejabat-pejabat tanah negeri di seluruh negara.

“Kerana jika ianya mudah berlaku di satu negeri, pasti modus operandi yang sama digunakan di negeri-negeri lain kerana kartel pastinya bijak dan licik.

“Tukar hak milik tanah secara ‘senyap-senyap’ merupakan sesuatu yang salah, apatah lagi tanah rizab polis.

“Yang terlibat memang berani sungguhlah nampaknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob mengesahkan, bahawa sebidang tanah rizab PDRM di Kamunting, Taiping, Perak ditukar hak milik kepada sebuah organisasi gereja di Melaka tanpa pengetahuan.

“Siasatan sedang dijalankan dan kita dapati kejadian yang sama berlaku di beberapa tanah rizab milik PDRM di Perak,” katanya.

Sumber berkata, penukaran tanah milik PDRM itu terbongkar selepas polis menerima surat daripada sebuah syarikat peguam yang mewakili pihak gereja pada 14 April lalu.

Jelas sumber, berdasarkan surat itu, pihak gereja menuntut hak milik tanah seluas 0.55 hektar di Mukim Kamunting.

“Semakan mendapati tanah rizab Persekutuan itu merupakan bekas tapak berek kelamin dan rumah ketua balai berpangkat Sarjan.

“Susulan itu, satu laporan dibuat pada 20 April lalu oleh polis sendiri untuk menyiasat status milikan tanah yang sebelum ini merupakan tanah PDRM,” kata sumber.

Terkejut dan menganggap perkara itu tidak masuk akal, Aminuddin tidak menolak kemungkinan sekiranya pihak terbabit dalam penukaran tanah rizab milik PDRM itu berani melakukan kesalahan berkenaan disebabkan kewujudan rangkaian kartel atau sindiket.

“Sejak dua menjak ini memang banyak disebut tentang rangkaian kartel dalam kalangan pihak berkuasa merentas agensi, maka ianya tidak mustahil.

“Apa yang pasti, apa yang berlaku ini membuktikan bagaimana tanah kerajaan boleh tergadai dengan mudah atas kelalaian dan kecuaian,” katanya kesal.

Melihat kepada situasi itu, beliau tidak hairan jika selepas ini tanah rizab Melayu akan lebih mudah ditukar hak milik secara rahsia.

“Mungkin itulah yang berlaku selama lebih 60 tahun ini sehingga tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

“Kita memohon agar pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuka kertas siasatan dengan segera dan mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat melakukan kesalahan ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button