Berita Utama

Malaysia kini berdepan dengan gelombang Omicron sepenuhnya

Kes harian dijangka akan cecah 15,000 tidak lama lagi

KUALA LUMPUR, 4 Rejab 1443H, Ahad – Malaysia kini sudah sepenuhnya berdepan dengan gelombang varian Omicron, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi satu hantaran di Twitter rasminya, beliau berkata, kes harian COVID-19 dijangka akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

“Masih satu juta warga emas di negara belum menerima dos penggalak (vaksin COVID-19). Tolong maklum kepada orang-orang tua kesayangan anda untuk mendapat dos penggalak dengan segera,” menurut hantaran itu hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas perkongsian Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di akaun Twitternya mengenai imej Berisiko-Terdedah-Berjangkit-Diasingkan (SEIR) kes harian COVID-19 dan unjuran kes dari 31 Ogos 2021 hingga 31 Mac ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Khairy turut menyeru orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan menekankan tujuan utama vaksin COVID-19 adalah bagi mengurangkan keseriusan gejala.

“Dengan dos penggalak perlindungan anda daripada gejala serius yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital/ICU (unit rawatan rapi) lebih baik. Dapatkan suntikan dos penggalak,” katanya.

Malaysia kembali merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi 10,000 apabila 10,089 kes baharu dilaporkan hari ini berbanding 9,117 semalam, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu kini meningkat kepada 2,914,220 kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button