Berita Utama

Undi 18: Bimbang pengundi diperguna warlord berpaksi sogokan wang

Kerajaan diminta usah terikut dengan tekanan parti komponen PN, PH

BANGI, 18 Ramadan 1442H, Jumaat – Pelaksanaan Undi 18 atas dasar desakan parti untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah suatu keputusan tidak matang.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, kematangan individu berusia 18 tahun dalam memilih masih diragui, di mana ramai cendekiawan mempertikaikan perkara tersebut.

“Apakah mereka yang berusia 18 tahun ini sudah faham matlamat tertinggi PRU itu sendiri dan apa kesan kepada negara jika sekiranya barisan yang memimpin negara nanti adalah mereka yang tidak berwibawa, tidak berakhlak dan berintegriti?

“Kita tidak mahu remaja 18 tahun ini dipergunakan oleh parti-parti warlord yang berpaksi kepada sogokan wang ringgit.

“Mereka tidak matang ini amat mudah tertipu dan dipergunakan oleh pihak-pihak yang ada kepentingan,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau menyarankan, kerajaan supaya tidak tertekan dengan asakan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, setiap perkara mesti dinilai dan diputuskan berdasarkan kajian yang mantap serta positif.

“Sepatutnya isu undi 18 tahun ini dibuat kajian dari pelbagai sudut. Negara kita tidak miskin dengan pakar-pakar berkaitan untuk kerajaan membuat penilaian dan keputusan,” katanya lagi.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memberi jaminan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun sedang diusahakan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Beliau perkara itu dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet kelmarin (28 April).

“Kerajaan komited untuk melaksanakan Undi 18 sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

Susulan keputusan tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi berkaitan peruntukan undang-undang tertentu dan perkara teknikal.

“Ia termasuk memperkemas kini sistem perisian yang diperlukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button