Artikel KhasBerita Utama

Anwar U-turn isu ICERD bukti orang Melayu perlu tegas tuntut kehendak, bina ‘soft power’

Berpunca dari tabiat politikus terlalu 'beriman' dengan demokrasi

SEJAK gelombang orang Melayu menolak ICERD dua tahun lalu, memang ramai yang ‘klaim’ merekalah hero untuk menambat hati dan sokongan Melayu.

Ada yang dahulunya mengecam kami kerana membantah ICERD dengan pelbagai label seperti rasis, ekstrimis dan sebagainya. Tetapi kerana perangai lalang, mereka sanggup bertebal muka.

Sebenarnya saya melihat ada beberapa pengajaran yang boleh kita jadikan refleksi terutamanya sebagai rakyat marhaen, khususnya sebagai Melayu Islam.

Secara mudahnya, pengajaran yang paling ketara ialah; jika rakyat bersatu padu berkehendakkan sesuatu, ahli politik pasti akan bergerak ke arah gelombang tersebut. (Selagi mereka tidak ikut, maka itu bukanlah gelombang).

Lihatlah bagaimana ahli politik yang memperjuangkan ICERD dahulu, semuanya sudah tidak mengaku mereka pernah memperjuangkannya. Malah, sudah sampai tahap mereka akui pula ICERD itu tidak baik untuk negara. Contoh mudah, lihatlah pengakuan Anwar Ibrahim ini.

Lagipun, kita pun tahu Anwar sedang terdesak ‘melakukan eksperimen’ untuk mencari sokongan Melayu kerana orang Melayu sudah mula ke arah berani ‘demand’ jika mahu undi mereka.

Contoh lain pula ialah hak Bumiputera. DAP yang dahulunya mahu hapuskan hak bumiputera pun sekarang sudah tidak mengaku mereka pernah berpendirian sedemikian. Sekurang-kurangnya mereka tidak berani lantang menunjukkan agenda tersebut di khalayak umum.

Lihatlah juga bagaimana ahli-ahli politik yang totok membenci kemelayuan sudah tidak berani timbul kerana pasti akan dikecam sendiri oleh ahli parti kerana memalukan parti (selepas dikecam teruk oleh orang Melayu marhaen).

Banyak lagi contoh yang boleh kita senaraikan, tetapi mesejnya adalah sama. Iaitu jika orang Islam terutamanya orang Melayu betul-betul kuat jati dirinya sehingga mampu membentuk ‘soft power’ yang kuat, bukan sahaja politikus tidak berani sentuh hak kita tetapi boleh jadi sampai tahap mereka berebut-rebut mempertahankannya.

‘Soft power’ sebegini wujud dalam masyarakat Cina. Yang paling ketara ialah sekolah vernakular dan UEC. Sekarang sampai tahap parti-parti Melayu pun pertahankannya; salur peruntukan jutaan ringgit dsb. Semuanya kerana masyarakat mereka bersatu atas agenda sehingga membentuk ‘soft power’ tersebut.

Semua ini berpunca dari tabiat politikus kita terlalu ‘beriman’ dengan demokrasi. Maka, sebab itu kita sebagai rakyat perlu ambil peluang dari ruang ini untuk mengawal mereka lebih-lebih lagi dengan wujudnya potensi kuasa tular di media sosial.

Selepas ini kita tunggu dan lihat, siapa pula yang akan mengaku jadi ‘hero’ ICERD lagi.

Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
1 Mei 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button