Gagal daftar sebelum masuk premis antara kesalahan utama SOP COVID-19
284 pesalah ditangkap dikenakan kompaun, dua direman

KUALA LUMPUR, 19 Ramadan 1442H, Sabtu – Kegagalan mendaftar sebelum memasuki premis merupakan antara tindakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang dicatat paling tinggi.
Kategori ini terdiri daripada 125 pesalah daripada 286 orang yang ditangkap oleh polis kerana melanggar SOP, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (54), tidak menjaga jarak fizikal (49), lain-lain (36) dan mengambil bahagian dalam aktiviti di pusat hiburan (22).
Katanya, 284 yang ditangkap dikeluarkan kompaun, sementara dua yang lain direman.
Ismail Sabri berkata, pasukan petugas operasi pematuhan semalam melakukan 67,137 pemeriksaan termasuk di 4,323 pasar raya, 5,269 restoran, 2,017 kilang, 4,102 bank, 4,607 gerai, 2,419 pasar/pasar tani dan 996 pejabat kerajaan.
Sementara itu, beliau memaklumkan tiga pendatang tanpa izin ditangkap dengan lima kenderaan disita dalam Ops Benteng.
Mengenai pemeriksaan mandatori pekerja asing, beliau mengatakan bahawa 230 pekerja asing menjalani pemeriksaan di bawah program itu tetapi tiada yang positif COVID-19 semalam.