Berita Utama

Kerajaan akan nilai semula PKP di negeri tinggi kes COVID-19

Premis berisiko sumbang penularan virus akan diarah tutup

BANGI, 19 Ramadan 1442H, Sabtu – Kerajaan akan menilai semula Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula ini penting untuk memastikan SOP yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan COVID-19 yang sedang meningkat di negara ini dan seluruh dunia.

Katanya, kerajaan telah pun menggunakan sistem amaran awal iaitu Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) bagi mengenal pasti kawasan atau premis yang berisiko menyumbang kepada penularan COVID-19.

“Premis-premis ini akan diarah tutup jika dikesan telah dilawati oleh sejumlah besar mereka yang positif COVID-19.

“Pendekatan ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengawal dan membendung penularan jangkitan COVID-19 secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Jelasnya, melalui sistem ini, pemantauan dilakukan setiap hari bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tumpuan awam yang berisiko tinggi.

“Saya meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan daripada berada di tempat yang sempit dan sesak bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button