Berita Utama

Kerajaan hari ini tak boleh dibiar berterusan: Isham Jalil

‘Makin teruk, ramai rakyat sengsara, tak makan dan hilang kerja’

BANGI, 19 Ramadan 1442H, Sabtu – Situasi kerajaan hari ini tidak boleh dibenarkan berterusan, sesuatu perlu dibuat untuk mengubah keadaan. 

Sekiranya kita perlu tukar kerajaan supaya nasib rakyat lebih terjaga dan menjauhkan mereka dari mudarat, maka itu wajib dilakukan.

Demikian tegas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil sambil menyifatkan pengisytiharan darurat untuk membendung jangkitan COVID-19 tidak memberi sebarang kesan.

Lebih menyukarkan keadaan, katanya, apabila Parlimen masih ditutup hingga menyebabkan proses semak dan imbang kerajaan terkekang.

“Demokrasi tercabul apabila Parlimen ditutup. Ekoran itu, kita dan Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh tanya kerajaan, Perdana Menteri dan menteri-menteri apa yang sedang berlaku kini atau menegur mereka di Parlimen.

“Mereka (Perdana Menteri dan Menteri-menteri) boleh berbuat sesuka hati dengan tidak banyak kekangan untuk mengekalkan kuasa mereka walaupun mereka tentunya tahu negara sedang terumbang ambing dan teruk sekali di tangan mereka,” katanya lagi.

Turut dikesalkan, katanya, apabila ada di antara mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkali-kali tetapi tidak diambil tindakan dan dikompaun.

Sementara ramai di kalangan rakyat yang dikenakan kompaun ribuan ringgit malah mencecah puluhan ribu ringgit.

“Semakin hari keadaan menjadi semakin teruk di Malaysia. Setiap hari kita tunggu, setiap hari semakin ramai rakyat yang sengsara, hilang kerja, tidak makan, dijangkiti COVID-19, atau mati,” katanya.

Sehingga 1 Mei, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 2,881 kes.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 411,594 dengan Selangor mencatat kes tertinggi iaitu 759.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button