Berita Utama

Siasat segera tuduhan KPN mengenai Hamzah Zainuddin

Kredibiliti PDRM tercemar bila Hamid kata SPP dicemari unsur politik

BANGI, 19 Ramadan 1442H, Sabtu – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu segera ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Hamid membuat dakwaan terbuka, menuduh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin campur tangan kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai yang bermasalah.

“Dia juga buat banyak tuduhan lain. Termasuk isu katak yang dikaitkan dengan rasuah.

“Hamzah Zainuddin pula tidak menafikan audio mirip suara beliau adalah tulen. 

“Isu pokok yang perlu diselesaikan adalah tuduhan KPN dan butiran dalam audio tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Puad menegaskan, PDRM adalah agensi penguatkuasa paling penting dan kritikal untuk negara.

Pasukan beruniform itu mesti didukung kuat oleh pegawai yang profesional dan berintegriti, katanya.

“…. barulah keadilan dan keselamatan terjamin. Tetapi apabila Hamid tuduh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah dicemari oleh unsur politik, maka kredibiliti PDRM tercemar.

“Apa maksud Hamid Bador, “Bahaya sekarang ini. Dia (Hamzah) bawa mesin pengorek buat jalan baru ke?” 

“Apa yang bahaya? Segerakan RCI. Segerakan sidang Parlimen,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid yang bakal bersara Isnin ini, menegaskan menteri sebagai Pengerusi SPP, tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan pasukan PDRM.

Katanya, orang politik cenderung untuk menggunakan PDRM demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.

Malah, beliau mengakui tidak senang dengan tindakan campur tangan Hamzah dan menyebabkan beliau mempunyai hubungan yang tidak baik dengannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button