Vaksin Moderna disenarai untuk kecemasan: WHO
Bantu negara tak dapat nilai keberkesanan vaksin sendiri

GENEVA, 19 Ramadan 1442H, Sabtu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menyenaraikan vaksin Moderna untuk kegunaan kecemasan.
Prosedur penyenaraian itu membantu negara yang tidak dapat menilai keberkesanan vaksin secara sendiri untuk memperoleh akses itu dengan secepat mungkin.
Selain itu, ia dapat membenarkan skim perkongsian vaksin COVAX dan rakan kerjasama lain untuk mengedarkannya ke negara miskin.
Vaksin keluaran Amerika Syarikat (AS) itu adalah yang kelima memasuki senarai kecemasan WHO.
Pada 18 Disember tahun lalu, pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk vaksin Moderna.
Sementara kebenaran pemasaran yang sah di seluruh Kesatuan Eropah bagi vaksin berkenaan telah dikeluarkan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) pada 6 Januari lalu.
WHO dalam satu kenyataan berkata, Kumpulan Penasihat Strategik Pakar Imunisasi (SAGE) mendapati, vaksin Moderna mempunyai keberkesanan mencecah 94.1 peratus.
Vaksin lain yang telah disenaraikan untuk kegunaan kecemasan oleh WHO ialah Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Institut Serum India dan Janssen.
Khamis lalu, Moderna berkata, pihaknya menjangka akan menghasilkan tiga bilion dos pada 2020 melalui komitmen pendanaan baharu bagi meningkatkan bekalan di kilang di Eropah dan AS. – Agensi